Assalamualaikum.
Dua nikmat yang sering kita lupakan adalah nikmat sihat dan nikmat masa lapang. Susah bukan untuk mensyukuri dua nikmat ini? Syukur bukan sahaja bererti memuji Allah, malah menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya merupakan satu lagi cara untuk bersyukur. Dalam khutbah jumaat tadi, khatib membicarakan soal nikmat sihat dan sunnah menjaga alam sekitar.
Jerebu telah melanda hampir separuh Malaysia pada minggu ini, bermula pada hari Ahad kalau tidak silap saya. Beransur- ansur pulih semalam dan keadaan sudah kembali kepada sedia kala pada hari ini. Alhamdulillah, pada masa ini kita dapat lihat ramai antara kita kembali sedar kepada nikmat. Bukankah sesuatu bencana yang berlaku kepada kita mampu untuk memberi kesedaran kepada kita?
Manusia mudah lupa. Kita mudah lupa akan nikmat yang diberi. Dengan sewenang-wenangnya kita membuat kerosakan kepada alam flora, menyebabkan berlakunya jerebu ini. Menjadi sunnah untuk kita menjaga alam sekitar. Alam sekitar juga merupakan makhluk Allah. Oleh hal demikian, tidak sepatutnya kita mementingkan diri kita semata-mata, dan memperlekeh sesuatu yang mungkin hanya perkara remeh tapi sebenarnya merupakan elemen penting dalam hidup kita.
Saban hari kita mengatakan bahawa sedikit perbuatan kita yang mencacatkan pemandangan dan alam sekitar seperti membuang sampah merata-rata; hanyalah secebis dan tidak akan menyebabkan sesuatu yang buruk untuk berlaku. Kita perlu ingat bahawa setiap amalan kita akan dihitung kelak, walaupun sebesar zarah atau atom sekali pun. Ingatlah bahawa dengan tidak melakukan kezaliman, yakni meletakkan atau melakukan sesuatu bukan pada tepatnya; sebenarnya sudah bererti kita sudah melakukan kebaikan, dan akan dibalas oleh-Nya.
Dalam pada itu saya terfikir, adakah menjadi suatu kewajiban kepada kita untuk melakukan kitar-semula sebagai contoh, untuk menyelamatkan alam sekitar? Apabila direnung kembali, difikir sejenak akan kehidupan seharian kita, kita semakin suka untuk membazir. Adakah kerana tidak disediakan kemudahan untuk membuang sampah yang boleh dikitar-semula menjadi alasan kepada kita? Mungkin benar, tetapi kita juga sepatutnya tidak patut untuk menuding jari kepada pihak lain sahaja.
Walaupun mungkin agak tersasar dari persoalan mensyukuri nikmat kesihatan tadi, kita tidak boleh tidak untuk lari dari melaksanakan tanggungjawab ini. Kesedaran bererti satu amanah. Amanah tersebut datangnya dari Allah dan disandarkan kepada kita untuk dilaksanakan. Saya cabar diri saya dan anda semua untuk berubah, berubah dari satu takuk lama, yang suka dan senang akan apa-apa yang kita lakukan dan memberi impak negatif kepada makhluk lain mahu pun diri kita sendiri; kepada sesuatu yang lebih baik.
Perubahan kepada sesuatu yang baik mungkin tidak dapat dilakukan sekali gus. Cuba untuk berubah secara perlahan-lahan tetapi momentumnya berkekalan, atau dalam kata lain; istiqamah. InsyaAllah, usaha untuk berubah akan dibalas dengan balasan yang baik oleh Allah. Ucapkanlah dan laksanakan syukur kita walaupun ianya hanyalah bisikan dalam hati.
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim:7)
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment